MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

MGG-P11/0523

BILA BUBUK MULA BERKELIARAN

(MCA Crisis: Worms Out of The Woodwork)

Majlis pusat MCA  telah  mendesak presiden parti Dato Sri Ling Liong Sik untuk meletak jawatan sebagai menteri pengangkutan. Pagi tadi, akhbar perdana telah menyiarkan berita (yang dianggap palsu) perletakan jawatan itu sambil menyiarkan juga berita betapa ramai pemimpin parti itu yang mahukan beliau mengekalkan jawatannya. Di sebalik semua sandiwara itu Perdana Menteri telah berjanji untuk memujuk beliau untuk terus mengekalkan jawatan. Seperti juga majlis pusat MCA, tentu dia tidak akan melakukan 'janji' itu.  Pucuk pimpinan MCA terbelah, kini. Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Ling kepada 'The Star; pagi tadi (23 Mei 00)ada orang lain yang mahukan jawatannya itu dan tentunya dia tidak boleh menyuruh menteri MCA yang lain untuk melepaskan jawatan mereka. Hari-hari yang mendatang tentu akan menyerlahkan pelbagai cerita lagi yang belum diketahui umum masa kini.  Kalaulah perletakan jawatan itu dilakukan sebagai satu helah politik, tentunya ia merupakan sesuatu yang tidak berbaloi. Walaupun para pemimpin parti mahukan beliau terus kekal di jawatannya, mereka sudah pasti akan  membantutkan usahanya.  Apabila seorang presiden MCA hilang kuasanya ke atas majlis tertinggi parti yang secara tradisinya adalah merupakan para jongos-jongosnya, bererti dia sudah tidak mampu untuk terus memegang kuasa itu. Dia sudah dianggap laksana seekor ayam togel sahaja.

Timbalan parti Dato Seri Lim Ah Lek yang bertanggungjawab dengan perletakan jawatan Dr. Ling itu tidak pula mahu mendedahkan alasan sebenar perletakan jawatan itu. Dia tidak mahu mendedahkan berita secara berlebih-lebih selain daripada apa yang sudah diketahui oleh media massa. Soalnya sekarang kenapakah Dr. Ling meletakkan jawatannya seminggu yang lalu tidak pun merujukkan perkara itu kepada parti terlebih dulu? Bukankah itu satu perbuatan yang tidak bertanggung-jawab? Kenapa pula dia keluar ketika mesyuarat masih lagi berjalan? Kalaulah perletakan jawatan itu sesuatu yang dijangkakan kenapakah Dr. Ling tidak hadir bersama ketika persidangan akhbar itu diadakan? Kalaulah pucuk pimpinan parti memandang remeh segala perkara yang membabitkan keahlian parti, ini bererti parti itu sedang menghadapi satu zaman pancaroba.

Sememangnya, Dr. Ling memimpin MCA dengan kuasa yang otokratik. Keupayaannya menguasai majlis tertinggi parti dan kemampuan mengusir sesiapa sahaja yang sanggup menggugat kuasanya bererti sesiapa yang sanggup mencabarnya itu memang bersedia untuk kehilangan kerjaya politiknya seandainya cabaran itu kantul. Dato' Sri Lim pernah melepaskan jawatannya dan parlimen untuk 'bersara' sambil bersiap sedia untuk melakukan cabaran itu. Dr.Ling pula memburukkan keadaan lagi apabila dia mengenepikan semua calon-calon Dato Seri Lim ke jawatan kerajaan  selepas pemilu 1999 dulu.  Sekarang, dia pula menyatakan betapa persaraannya itu adalah untuk memperbaiki keadaan itu.

Suasana tidak 'ngam'; di antara kedua-dua pemimpin itu memang diketahui umum. Tetapi, Dr, Ling yang berasa selesa dengan kuasa yang ada dan dibantu pula oleh satu gerombolan jongos-jongos yang setia, bukan sahaja telah memperlekehkan kemarahan Dato Sri Lim dan  para penyokongnya, malahan beberapa kumpulan yang lain jua.

Alasan rasmi perletakan jawatan Dr. Ling itu ialah masa yang lama selama 14 tahun sudah memerlukan peralihan beban kepada orang lain pula. Ini adalah laksana melepaskan seekor kucing di kalangan burung merpati, sahaja. Pemimpin  Barisan Nasional dan juga beberapa parti pembangkang yang lain, selalunya mahu memegang kuasa kepimpinan sesuatu parti untuk tempoh yang panjang, tanpa ada sesiapa yang menentang. Presiden UMNO mahu terus berkuasa tanpa cabaran selepas 19 tahun, presiden MIC masih lagi berkuasa selepas 22 tahun. Begitu juga dengan pemimpin parti lain walaupun tempoh kuasa masih kurang lagi. Semua mereka itu masih lagi memegang kuasa dengan segala tipu helah yang ada sedangkan para pengikut amat takut untuk menyanggah mereka kerana takutkan balas dendam  seandainya mereka bersuara lantang menyanggah. Perdana Menteri semakin sedar betapa rapuhnya jawatan yang dipegangnya itu setelah berlangsungnya persidangan UMNO. Begitu juga Dr. Ling. Presiden Gerakan Dato Seri Lim Kheng Yaik sudah pun merasakan bahangnya. Begitu juga dengan presiden MIC Dato Seri S. Samy Vellu.

Kepimpinan parti politik untuk masa yang panjang selalunya menyekat amalan demokrasi. Selalunya parti politik bergantung kepada kepimpinan untuk membuat perubahan secara 'ad hoc' yang sudah pasti mempengaruhi para penyokongnya. Tempoh kepimpinan seseorang yang panjang itu telah membudayakan corak kepimpinan seperti ini sehinggakan dipandang jelek oleh akar umbi parti. Akibatnya sesuatu sistem yang baik itu tidak dapat diperkokohkan. Kerana itu setiap kali seorang pemimpin baru muncul, dia akan berusaha mencengkamkan kuasa; selalunya dengan memperlekehkan apa yang pernah dilakukan oleh pemimpin yang terdahulu dan terus mencari kambing hitam untuk dijadikan mangsa.  Kalaulah semua pemimpin parti politik di negara ini tulus dalam perjuangan mereka, sudah sampai masanya untuk mereka menentukan tempoh kuasa pucuk kepimpinan parti. Samada sebagai presiden parti mahupun sebagai ahli kabinet.

Tempoh dua penggal di parlimen sepatutnya merupakan satu had maksimum. Dengan cara in semakin ramai pemimpin akan menyerlah. Perkara begini amat penting bagi parti politik seperti MIC di mana perwakilannya amat sedikit sekali. Putaran kepimpinan secara  silih-berganti akan memperbaiki imej dan tidak lagi berpandukan kesangsian dan juga pengasingan seperti yang dilakukan sekarang ini. Adalah sama pentingnya untuk memperbaiki sistem pemilihan calon kalau pandangan akar umbi diambil kira. Buat masa ini jawatankuasa parti adalah berbentuk oligarki yang kerap menghenyak sesiapa yang mahu mencerobohinya sambil bersuara lantang untuk memberi ruang kepada golongan pemimpin pelapis. Memang mengaibkan apabila hanya satu parti politik yang mampu melakukannya masa kini. Samada kita suka atau pun tidak, penyingkiran Dr. Ling telah pun mendedahkan dilemma ini.

Diterjemahkan oleh -MT-
23 Mei, 2000

 counter.bloke.com